Perak Silver Youth
Like

Tulis Kisah Anda Di Kapsul Masa TT5, April Ini

22/03/2018
56 Views
0 Comments
1 minute read
Tulis Kisah Anda Di Kapsul Masa TT5, April Ini

TANJUNG TUALANG:Orang ramai dijemput untuk turut serta mengabadikan kenangan serta berkongsi cerita sempena ulang tahun Kapal Korek Tanjung Tualang NO.5 (TT5) ke-80 melalui kapsul masa@TT5 di lokasi tapak bersejarah itu bermula April ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MB Inc, Datuk Aminudin Hashim berkata kapsul masa TT5 hanya akan dibuka kepada umum dalam tempoh setahun sahaja dan pada penghujung tahun ini kapsul tersebut akan disimpan serta dibuka semula selepas 20 tahun.

“Setiap orang pastinya mempunyai ceritanya tersendiri dan ingin disampaikan kepada sesiapa sahaja dan 20 tahun akan datang boleh buka cerita itu,” katanya kepada media pada majlis pra pelancaran Pelancaran Kapsul Masa Di Kapal Korek Tanjung Tualang NO.5 (TT5) di perkarangan tapak TT5 di sini hari ini.

Terdahulu majlis pra pelancaran Kapsul Masa TT5 telah dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Komunikasi dan Multimedia, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi.

Katanya, ia akan menjadi memori terindah dan lakaran sejarah kepada si penulis kelak selepas 20 tahun kapsul itu disimpan.

“Tempat simpanan akan diletakkan di TT5 iaitu dikenali sebagai ‘dataran cerita’ malah pihak TT5 akan mengeluarkan bungkusan khas berharga RM38 lengkap dengan bungkusan dan maklumat penulis untuk dibuka selepas TT5 menyambut ulang tahunnya ke-100 tahun,” katanya.

Kapsul masa hanya dibuka pada tahun 2038, iaitu 20 tahun dari sekarang bersempena ulang tahun ke-100 TT5 (1938-2038) dan akan ditanam di Dataran Cerita@TT5 pada penghujung Disember tahun ini.

“Orang ramai dijemput untuk turut serta menulis cerita masing-masing secara rasminya pada 1 April ini di TT5,” katanya.

Komen & Pendapat