Perak Silver Youth
Like

Maju Mega Bike Harumkan Nama Perak

17/10/2017
50 Views
0 Comments
3 minutes read
Maju Mega Bike Harumkan Nama Perak

IPOH: Muhd Haziq Zaulkafli, 23, berjaya mengharumkan nama negeri Perak apabila menjadi Juara Keseluruhan PETRONAS Sprinta Pro-Am Cup 2017 dan seterusnya, menempah tempat kejuaraan keseluruhan Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS.

Walaupun mendapat tempat ke-3 dalam pusingan ke lapan di Jempol Negeri Sembilan, Haziq, dari pasukan Pelumba Maju Mega Bike (MMB) yang merupakan pasukan tunggal berasal dari Perak ini berjaya memperoleh mata sebanyak 127, dengan lima kejuaraan.

Walaupun berbaki dua pusingan, pengurusnya, Amirul Johari Azman, bersyukur Haziq berjaya menduduki tempat 10 keatas.

 

“Pada pusingan pertama di Temerloh Pahang, Haziq dengan jentera 89 berjaya menjadi juara dalam acara ini dan daripada itu, kami yakin dia boleh pergi lebih jauh.

“Pada pusingan ketujuh di Kelantan, kita nampak semangat juang Haziq apabila pada ketika dia terjatuh dan ketinggalan di kedudukan 11.

“Namun, dia berjaya mengejar kembali dan akhirnya menamatkan perlumbaan tempat pertama,” katanya.

Tambah Amirul, Haziq kini akan disasarkan dalam kategori CP115 pada tahun hadapan.

 

Selain Haziq, adiknya, Mohd Hariz Zaulkafli, dan bekas pelumba Modenas dan Petronas Raceline Malaysia, Mohd Fahmin, turut bertanding dengan membawa nama MMB.

Amirul yang ditemui di Bengkel Maju Mega Bike, dekat sini pada Selasa berkata, kejuaraan ini sebenarnya sebagai bukti bahawa Perak masih lagi mempunyai ‘taring’ dalam arena pemotoran ini.

“Kita sebenarnya nak bawa seberapa banyak piala untuk negeri Perak di mana, kita pernah melahirkan ramai tokoh-tokoh terkenal dalam sukan cub prix antaranya, M. Megananthan, Wazi Abd Hamid,Ahmad Fazli Sham dan Shahrol Yuzy,” katanya.

Dalam pada itu, Haziq yang sudah menceburi sukan ini selama tiga tahun berkata, kejuaraan yang diperolehnya itu sememangnya menjadi sasaran peribadi untuk tahun ini.

“Untuk masa hadapan, saya sasarkan untuk pergi lebih jauh lagi,” katanya.

 

Amanjaya Motorsport Management

 

Dalam pada itu, Amirul berkata demi memperkasakan lagi sukan pemotoran dalam negeri Perak, dia telah menubuhkan Amanjaya Motorsport Management, sejak tahun lepas

Katanya, penubuhanya juga bertujuan sebagai menghimpunkan pelumba dan bekas-bekas pelumba negeri Perak selain sebagai platform untuk pelumba-pelumba baru mendapat tempat dan khidmat nasihat berkeaan hala tuju karier mereka.

Selain itu, Amirul juga berharap sebuah Litar Rakyat dapat diwujudkan bagi memberi ruang kepada pelapis-pelapis baru sukan pemotoran dan juga pada masa sama dapat mengurangkan jenayah jalan raya.

 

“Kami dijemput Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Belia dan Sukan, Datuk Shahrul Zaman Yahya untuk berkongsi pandangan dalam satu sesi forum di Festival Of Ideas baru-baru ini dan ketika itu, saya menyuarakan cadangan tersebut kepada beliau.

“Saya katakan kepada beliau, berdasarkan laporan Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) Selangor, sejak Litar Rakyat itu dibuka, jenayah lumba haram berjaya dikurangkan sehingga 50%.

“Cadangan ini juga bukan berdasarkan keuntungan semata-mata kerana sebagai contoh, untuk sebuah motor, kita mungkin hanya kenakan bayaran RM10 ke RM15 sahaja ataupun jumlah yang mampu dibayar berbanding dengan litar-litar persendirian yang mungkin agak mahal,”katanya.

Tambahnya lagi, MMB sangat berminat untuk bekerjasama dengan Kerajaan Negeri bagi mengadakan kempen kepada masyarakat berkenaan keselamatan jalan raya dan penerangan aktiviti perlumbaan motor mengikut saluran yang betul.

Komen & Pendapat