Sukan
Like

Misi Emas Chinlone Tercapai – Khairy

16/08/2017
52 Views
0 Comments
2 minutes read
Misi Emas Chinlone Tercapai – Khairy

KUALA LUMPUR: Kemampuan skuad chinlone meraih emas pertama Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 buat Malaysia disifatkan Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin sebagai satu misi yang berjaya disempurnakan barisan atlet dan jurulatih sukan itu.

Malaysia merangkul emas sulung berkenaan selepas mempamerkan aksi cemerlang dengan menewaskan Filipina 391-271 pada perlawanan akhir di Stadium Tertutup Titiwangsa, pada Selasa.

“Emas ini sangat bermakna kerana ia merupakan emas pertama kejohanan (Sukan SEA Kuala Lumpur) dan memang kita sasarkan acara ini untuk jadi penyumbang emas pertama buat kem negara.

“Semua pemain tidak mengecewakan. Bermula dari timangan pertama lagi mereka sudah menunjukkan kehebatan mengawal bola,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan perlawanan akhir itu.

Khairy turut mengalungkan sendiri pingat emas ke leher semua atlet chinlone yang mengharumkan nama negara.

Turut hadir ketua kontingen negara Datuk Marina Chin.

Dalam pada itu, ketua jurulatih, Mohd Yusoff Abdullah berasa lega dan puas hati dengan prestasi dan pencapaian anak didiknya.

“Saya rasa seperti beban yang selama ini berada di atas kepala saya  terus hilang dengan kejayaan anak buah saya mendapat pingat emas pada hari ini.

“Persembahan yang ditunjukkan mereka sangat baik. Saya lihat ini sebagai pencapaian peribadi saya setelah dua kali percubaan kita gagal sebelum ini iaitu di Sukan SEA Myanmar 2013 dan Sukan SEA Singapura 2015 yang lalu,” katanya.

Turut berkongsi kegembiraan ialah ketua pasukan Negara, Mohammad Faiz Roslan yang berpendapat kejayaan pada edisi ke-29 Sukan SEA itu akan terus menyuntik semangat bukan saja atlet chinlone malah anggota kontinjen Malaysia yang lain.

Malaysia mempamerkan aksi bertenaga sejak di pusingan awal dengan mengumpul 376 mata diikuti Filipina dengan 293 dan Brunei 157 untuk layak ke perlawanan akhir.Brunei mengutip pingat gangsa dalam pertandingan yang disertai tiga negara itu.

Selain Muhammad Faiz, pasukan chinlone yang meraih emas itu turut dibarisi Mohammad Kamal Aizat Azmi, Ab Muhaimi Che Bongsu, Putera Aidil Israfi Kamaruzaman,  Muhamad Asyraaf Abd Hadi, Izuan Afendi Azlan, Mohd Nazuha Mohd Nadzli dan Iskandar Zulkarnain Salim.-Bernama

Komen & Pendapat