Perak Silver Youth
Like

KRU Malaysia, PKNP Meterai Kerjasama

17/04/2016
406 Views
0 Comments
3 minutes read
KRU Malaysia, PKNP Meterai Kerjasama

IPOH: Satu jalinan kerjasama antara kumpulan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) dan KRU Malaysia Sdn Bhd telah dimeterai untuk menggalakkan peluang pelaburan serta meningkatkan industri kandungan kreatif di negara ini.

Berikutan itu, KRU Malaysia Sdn Bhd akan memindahkan studio penerbitannya di bangunan Perak Innovation and Creative Resources Centre (PINCER) apabila memeterai kerjasama dengan selama tiga tahun.

Timbalan Ketua Eksekutif (Perkhidmatan Korporat) PKNP, Sayed Shariffuddin Sayed Shamshuddin berkata, pihaknya telah bersetuju untuk membiayai sebanyak RM3.3 juta yang meliputi kos untuk memindahkan dan menaiktaraf peralatan yang berada di dalam bangunan tersebut.

“KRU Malaysia yang kini berada di Cyberjaya telah bersetuju untuk memindahkan studio penerbitan dan peralatan yang berada di Cyberjaya ke bangunan PINCER.

“Pihak KRU akan menggunakan peralatan sedia ada yang dimiliki oleh PKNP dan juga peralatan dari Cyberjaya akan digunakan bagi tujuan penerbitan yang berkaitan dengan kandungan kreatif,”ujarnya ketika ditemui media selepas majlis perasmian Ekspo Outreach Dana Bumiputera@Perak di Stadium Indera Mulia, hari ini.

Dalam masa yang sama, beliau berkata, kerajaan negeri akan menerima banyak manfaat antaranya dapat menghasilkan peluang pekerjaan di samping menarik pelabur dalam dan luar negara yang terlibat dengan industri kreatif.

Sementara itu, Presiden Eksekutif KRU Group, Datuk Norman Abdul Halim berkata, pihaknya telah mengadakan beberapa siri lawatan teknikal dan melihat peralatan yang dimiliki oleh PKNP antara yang tercanggih di Malaysia.

“Bagaimanapun, peralatan tersebut diperolehi pada tahun 2011 dan ada beberapa aset-aset tersebut perlu dinaiktaraf dan baikpulih.

“Kami akan menerbitkan kandungan kreatif kami khususnya dalam animasi, kesan khas visual dan juga suntingan daripada penerbitan audio bertempat di studio baru mulai Mei nanti,”ujarnya.

Namun begitu, katanya, tarikh untuk berpindah ke PINCER belum lagi ditentukan kerana studio di Cyberjaya perlu melalui ‘shut down process’.

“Studio sekarang ini masih mempunyai kerja-kerja penerbitan dan ianya terpaksa diberhentikan sementara untuk memindahkan aset-aset kami yang bernilai RM10 juta.

“Kerja-kerja kami yang akan dibawa kesini dalam tempoh tiga tahun sekurang-kurangnya akan membawa projek bernilai RM30 juta untuk penerbitan di sini,”ujarnya.

Tambah beliau lagi, beliau mensasarkan akan mewujudkan 200 peluang pekerjaan dimana beliau mengharapkan majoritinya adalah anak-anak Perak.

“Pada peringkat permulaan, kita akan menghantar sekitar 30 hingga 50 orang pekerja daripada ibu pejabat.

“Kita mensasarkan untuk menghasilkan sekurang-kurangnya 100 pelatih yang boleh dimasukkan ke dalam industri kreatif dan melahirkan sekurang-kurangnya 300 tenaga mahir dalam industri ini,”ujarnya.

Majlis penyerahan dokumen kerjasama itu disaksikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.

Komen & Pendapat