Perak Silver Youth
Like

Dewan Belia Bukti Kerajaan Negeri Dengar Suara Orang Muda

14/04/2016
426 Views
0 Comments
2 minutes read
Dewan Belia Bukti Kerajaan Negeri Dengar Suara Orang Muda
IPOH: Penubuhan Dewan Belia Perak membuktikan bahawa kerajaan negeri sentiasa mendengar suara anak muda yang akan menerajui negara dan negeri pada masa hadapan.
Exco Kerajaan Negeri, Datuk Shahrul Zaman Yahya (BN-Rungkup) berkata, sesuai dengan visi dan misi penubuhan Dewan Belia itu, pelbagai program peningkatan kapasiti perwakilan Dewan Belia telah dijalankan.
“Visi penubuhan Dewan Belia Perak adalah bertujuan untuk melatih dan mengasah bakat kepimpinan belia Negeri Perak sebagai pelapis kepimpinan pada masa hadapan dan mempertingkatkan keberkesanan dalam membuat keputusan berkaitan cabaran.
“Manakala misi Dewan Belia Perak adalah untuk menyediakan platform perbahasan kepada belia untuk menyuarakan pandangan, berbincang dan menjana idea baru berkaitan pembangunan belia untuk dibawa kepada kerajaan negeri sebagai input dalam proses membuat polisi,” katanya ketika menjawab soalan lisan daripada S Kesavan (PKR-Hutan Melintang) dalam sidang Dewan Negeri, hari ini.
Ujarnya, pihak sekretariat juga telah menganalisa keperluan dan siri latihan pembangunan kapaisiti yang perlu untuk memperkasakan perwakilan Dewan Belia.
“Diantara program-program latihan pembangunan kapasiti yang akan dilaksanakan untuk perwakilan Dewan Belia Perak adalah latihan Pengucapan Awam dan ‘Self-branding’, ‘Research and Methodology’ dan Pengurusan Projek di lapangan,”ujarnya.
 Mengulas lanjut, Shahrul Zaman berkata, setiap perwakilan Dewan Belia diperuntukkan sebahagian kecil dana untuk menjalankan program-program belia di peringkat akar umbi.
Dalam soalan tambahan, Shahrul Zaman berkata, kerajaan negeri memandang serius usul-usul yang telah dibentangkan dalam Mesyuarat Pertama, Penggal Pertama Dewan Belia Perak.

 

Katanya lagi, usul-usul tersebut telah dibentangkan di dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang melibatkan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan negeri.

Komen & Pendapat